Wednesday, March 23, 2011

JANGAN PERNAH LUPA

Bismillahirrahmanirrahiim... Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Lama sungguh tak update blog, alhamdulillah diberi kelapangan pada petang ini.

Kenapa tajuknya 'Jangan Pernah Lupa' ?

Sebenarnya ianya lebih kepada ingatan buat diri sendiri, agar tidak melupakan antara saat terindah dalam hidup ini.

Bilakah saat itu, kenapakah ianya indah?

Al-kisahnya berlaku pada satu hari... Hati sangat terluka disebabkan berlakunya beberapa perkara, tak tahu perkara tersebut disebabkan salah diri sendiri atau salah orang lain. Walaubagaimanapun, aku percaya keterlukaan itu sebenarnya Allah ingin mengajarkan beberapa perkara yang amat bermakna dalam hidup ini. Sewaktu sedang melayan emosi sendiri, terdetik hati untuk buka tafsir Al-Quran. MasyaAllah, betapa Allah amat mengasihi hamba Nya, diberinya penawar kepadaku melalui kalam Nya itu, betapa Dia Maha Memahami hamba Nya.

Apakah ayat itu?

Surah Saba'

Ayat 1 & 2: Segala puji bagi Allah yang memiliki apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan segala puji di akhirat bagi Allah. Dan Dialah Maha Bijaksana, Mahateliti. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi, apa yang keluar darinya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepada Nya. Dan Dialah Yang Maha Penyayang, Maha Pengampun.

Tepat sekali ayat ini, Allah tahu apa yang ada dalam hatiku sekarang, keterlukaanku, kegelisahanku dan segala apa yang ada pada diriku, Dia tahu segalanya. Aku perhatikan alam sekeliling, segala puji bagi Allah yang telah menciptakan burung yang berterbangan... pokok yang daunnya melambai-lambai... air yang mengalir dan jernih... Maha Hebat Allah yang telah menciptakan ini semua, dan pada waktu yang sama telah mententeramkan hatiku yang berkecamuk tadi...

Saat ini menjadi antara saat terindah dalam hidupku. Aku menangis teresak-esak kerana sungguh terharu betapa Allah memahami diri yang lemah ini... Dengan kalam Nya itu, ianya mampu mententeramkan hatiku sekelip mata. Aku makin yakin bahawa benarlah yang Al-Quran itu adalah mukjizat terbesar buat umat Nabi Muhammad dan ianya merupakan petunjuk sepanjang zaman. 2:2: Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa...

Anda tak percaya?

Anda cubalah sendiri, dikala diri dilanda kesusahan, ikhlaskan hati untuk membuka kalam Nya dalam usaha untuk mencari petunjuk dari Nya dalam menyelesaikan masalah anda itu. Hayatilah maksud kalam dari Tuhan buat hamba yang amat dikasihi Nya. InsyaAllah, disitu akan dapati penyelesaian bagi masalah anda itu. Paling tidak, ketenangan hati dan ketenteraman jiwa akan anda peroleh. Maklumlah, hati sentiasa gelisah dengan segala macam perkara yang mendatang dalam hidup, akademik, keluarga, persatuan, perasaan dan bermacam lagi. 

Duhai diri dan teman-teman, pulanglah kepada Pencipta Mu, mengadu kepada Nya, pohon keampunan dari Nya, Dia Maha Mendengar suaramu mahupun detikan hatimu.

~ Nukilan hati hamba Allah selama-lamanya ~