Wednesday, November 3, 2010

UKHUWWAH FILLAH ABADAN ABADA



Bismillahirrahmanirrahiim....

Dalam kehampiran nak final exam, sempat lagi berblog. Syukran Ya Allahu Ya Maliki.
Setelah penat/boring/malas study tengahari tadi, mencari buku untuk dibaca yang lebih kena dengan jiwa {buku matematik tak brape nak kena dengan jiwa :( }, nampak la buku "Kalam Cinta Daripada Allah" tulisan Ali Sobirin El Muannatsy terbitan PTS Litera. Membaca satu bab dalam buku ini mengingatkan ku dengan  sahabat2 & adik2. Maka ingin ku kongsikan bersama setelah di edit sedikit buat tatapan semua.

Supaya lebih faham cerita ini (klo x faham, mintak maaf la, harap2 dapat faham & hayati)...
~Dany dan Sana merupakan sahabat lama.
~Suci isteri kepada Dany.
~Maesyaroh isteri kepada Sana.
..............
     "Jangan lupa sembahyang, Dany. Kalau boleh, solat tahajud juga jangan ditinggalkan. Dengan bertahajud, hati kita tenteram. Ingat Dany, tidak ada silaturrahim yang paling mulia selain silaturrahim hati, dan silaturrahim doa-mendoakan. Malam hening boleh mencerahkan hati dan fikiran kita. Kita akan lebih mengenali diri kita, dan kita akan lebih mengerti orang lain. Tidak ada ikatan yang lebih erat selain ikatan hati. Ikatan hati adalah yang paling utama. Saling mendoakan, dan kalau bertemu, saling mengingatkan. Silaturrahim fizikal hanyalah untuk mempercantik, ibarat rempah masakan supaya hidup kita tidak terasa hambar."

     "Jauh di mata dekat di hati, daddy?" Suci menyela.

     "Betul. Hati kita hendaklah terus diasah dan dicuci supaya lebih tajam dan lebih peka terhadap apa yang berada di sekitar kita. Supaya kita lebih peka terhadap apa yang berada di sekitar kita. Supaya kita lebih peka terhadap orang lain, terhadap keadaan sekeliling dan terhadap alam semesta," kata Sana.

     Suci mengangguk-angguk.

     Kata Sana lagi dengan nada yang terbata-bata, "Kalau seseorang mahu menilik ke dalam hatinya sendiri, sebetulnya dia akan damai. Amarah yang sia-sia tidak akan muncul. Iri hati dan dengki tidak akan timbul. Kerana dengan menilik hati, orang akan mengetahui siapa dirinya, siapa orang lain dan akan kembali ke mana. Kalau sudah bertemu hati sendiri, dia akan sedar bahawa kita semua adalah sama, tidak ada bezanya. Kerana kita berasal dari Yang Maha Esa. Manusia yang seramai ini sebenarnya hanyalah satu. Kita semua hanyalah pantulan matahari dari cermin. Banyak dan bermacam-macam. Tapi yang nyatanya hanya satu, Allah SWT."

     "Itulah perlunya tahajud, Dany. Malam hening adalah cermin untuk melihat diri kita. Untuk meneliti hati kita. Untuk mengetahui siapa diri kita sebenarnya. Di situlah silaturrahim sebenarnya. Silaurrahim hati. Silaturrahim jiwa. Oleh itu, kalau kamu solat tahajud, kalau boleh, berjemaah bersama puan dan Tari. Bagi orang sibuk seperti kamu, tidak perlu solat lama-lama. Cukup dua rakaat. Habis itu bertafakur sejenak."

     Maesyaroh mencuit Sana. Berbisik, "Sudahlah, abi, cukuplah tu." Dia berkata kepada Dany, "Kita dah hampir sampai, encik."

     Tidak lama kemudian mereka sampai di terminal. "Mummy, kereta diletakkan di sini saja. takut bertambah lama. Sudah petang. Kasihan kakak," kata Dany sambil meletakkan kereta di pinggir jalan. Dany dan Suci turun dahulu lalu membukakan pintu untuk Sana  dan Maesyaroh. "Mummy tunggu di sini, biar daddy yang menghantar," kata Dany.

     "Di sini sudah cukup, encik. Kami dah biasa di sini. Tidak apa-apa. Kasihan puan, takut terjadi apa-apa," Maesyaroh mencari dalih.

     Disokong oleh Sana, "Betul, Dany. Di sini sudah cukup. Kasihan puan kepanasan."

     "Benar sudah biasa, kak?"

     "Betul, encik. Kami sering ke sini."

     Mereka pun meminta diri, berpelukan. Lama dan erat.

     "Terima kasih, Dany. Kamu masih seperti dulu. Kebaikan kamu tidak berubah," kata Sana dengan suara yang sebak, "Alhamdulillah, aku bahagia sekali kerana kamu berjaya seperti ini, Dany. Aku tidak sangka sama sekali."

     "Sama-sama Kang. Jangan lupa mendoakan saya dan keluarga. Nasihat Kang Sana akan selalu saya ingat," Kata Dany, juga dengan suara yang sebak, "Terima kasih, Kang."

     Suci dan Maesyaroh berpelukan dengan mata berkaca-kaca, dan dengan ucapan salam teramat lirih. Mereka pun berpisah.

     Ya Allah, selawat dan salam kepada junjungan kami baginda Rasulullah Muhammad SAW. Segala puji bagi-Mu ya Allah, Tuhan sekalian alam. Segala puji bagi Engkau yang telah memberikan kurnia dan nikmat yang tidak putus-putus. Ya Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian atas segala keagungan dan kemuliaan kerajaan-Mu.

    Ya Allah Rabb al-'alamin, Engkau adalah satu-satunya Zat Yang Maha Agung. Satu-satunya Zat Yang Maha Suci. Satu-satunya Zat Yang Maha Pengampun. Ampunilah diri kami yang penuh dosa dan hina ini. Ampunilah kami ya Allah, Yang Maha Pengampun. Ya Allah Rabb al-'izzati. Engkau Maha Pemurah. Ampunilah kami yang tidak bersyukur dengan jalan-Mu. Ampunilah kami yang kufur terhadap nikmat-Mu yang tidak dapat kami hitung. Ampunilah kami yang sombong dan lalai terhadap diri-Mu Yang Maha Pengasih. Ya Allah limpahkanlah kasih dan cinta-Mu untuk membersihkan debu-debu di jiwa yang tiada bermakna ini. Ya Allah, Yang Maha Mengetahui. Tentukanlah arah jiwa yang tak berdaya ini. Ya Allah, luasnya samudera-Mu sering membuat kami lalai dan tidak sanggup menempuh gelombang. Arahkanlah kami ya Allah, ke jalan yang Engkau redai, bukan jalan yang Engkau benci.


     Ya Allah, Yang Maha Pemurah. Kuatkan hati, langkah dan fikiran kami, saudara-mara kami, sahabat-sahabat kami dan seluruh umat Islam. Agar mampu menguraikan benang-benang kusut kehidupan, agar mampu menjadi penerang cakerawala, agar mampu menebarkan damai dan cinta. Ya Allah, ya Tuhan kami. Ampunilah dosa kami dan dosa orang tua kami. Rahmatilah mereka dengan cinta dan kasih-Mu, seperti mereka merahmati kami dengan cinta dan kasih mereka. Ya Allah, limpahkanlah kepada kami, anak cucu kami, kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabb al-'alamin.
..................

Moral of the story ~~~
1) Solat tahajud mententeramkan hati.
2) Saling mendoakan walau berjauhan (Jauh di mata, Dekat di hati).
3) Bertemu dan berpisah hanya kerana Allah.
4) Dan banyak lagi...

Allah Matlamat Kami,
Rasulullah Ikutan Kami,
Al-Quran Panduan Kami,
Jihad Jalan Kami,
Syahid Cita-Cita Tertinggi Kami...