Sunday, June 24, 2012

KENAPA SOLAT WANITA TIDAK SAH?

Bismillahirrahmanirrahiim... Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Maha Penyayang...

Salaamun 'alaikum wrt wbt buat teman-teman yang dikasihi semua. 

Saya terpanggil untuk menulis sedikit berkenaan tajuk di atas kerana merasakan pentingnya perkara ini. Saya sering kali melihat beberapa situasi dimana para wanita sedang solat tapi ada beberapa keadaan pada dirinya yang boleh menyebabkan solatnya tidak sah. Antaranya:

1) Kain sarung solat pendek menyebabkan nampak kaki sewaktu sujud. Bagi kita wanita yang berpegang dengan Mazhab Imam Syafie, adalah tidak sah solat bila nampak anggota badan kita melainkan muka dan tangan. Oleh itu, bila nampak kaki, walaupun satu jari sahaja, solat kita adalah tidak sah wahai para wanita yang dikasihi sekalian.

2) Kain sembahyang yang nipis yang menampakkan warna kulit. Walaupun kita menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tangan tetapi warna kulit kita masih dapat dilihat, maka ianya masih dikira aurat yang akan membatalkan solat kita. Contohnya telekung kita yang warna putih itu masih menampakkan warna kulit lengan kita yang coklat, maka solat kita tidak sah. Oleh itu lebih baik pakai telekung yang kainnya tebal atau dua lapis. Kain sarung pula belilah yang bercorak supaya tidak nampak warna kulit kaki kita sewaktu solat. Di pasaraya MYDIN ada dijual kain sarung sembahyang yang tebal dan bercorak dengan harga berpatutan.

Rasanya cukup dua perkara ini dahulu yang mana saya lihat agak kritikal dikalangan para wanita. Amat rugi, kita solat tapi disebabkan kecuaian dan ketidakprihatinan kita, solat kita yang sudah berpuluh-puluh tahun tidak sah. Saya percaya dua perkara yang dikongsikan di atas adalah perkara yang telah kita belajar tapi sering kali kita ambil sikap sambil lewa yang boleh menjadikan solat kita sia-sia seterusnya menjadikan hidup kita tidak tenang.

Apa yang dikongsikan disini adalah hasil dari pembelajaran saya yang masih kurang. Jika ada sebarang persoalan boleh diajukan dan kita cuba untuk mencari jawapan secara bersama. Jika tidak menjumpai jawapannya, bertanyalah kepada ustaz dan ustazah yang lebih arif. Wallahua'lam.

Uhibbukum... :)

~Penuntut ilmu dunia dan akhirat~

No comments:

Post a Comment