Sunday, June 24, 2012

KENAPA SOLAT WANITA TIDAK SAH?

Bismillahirrahmanirrahiim... Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Maha Penyayang...

Salaamun 'alaikum wrt wbt buat teman-teman yang dikasihi semua. 

Saya terpanggil untuk menulis sedikit berkenaan tajuk di atas kerana merasakan pentingnya perkara ini. Saya sering kali melihat beberapa situasi dimana para wanita sedang solat tapi ada beberapa keadaan pada dirinya yang boleh menyebabkan solatnya tidak sah. Antaranya:

1) Kain sarung solat pendek menyebabkan nampak kaki sewaktu sujud. Bagi kita wanita yang berpegang dengan Mazhab Imam Syafie, adalah tidak sah solat bila nampak anggota badan kita melainkan muka dan tangan. Oleh itu, bila nampak kaki, walaupun satu jari sahaja, solat kita adalah tidak sah wahai para wanita yang dikasihi sekalian.

2) Kain sembahyang yang nipis yang menampakkan warna kulit. Walaupun kita menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tangan tetapi warna kulit kita masih dapat dilihat, maka ianya masih dikira aurat yang akan membatalkan solat kita. Contohnya telekung kita yang warna putih itu masih menampakkan warna kulit lengan kita yang coklat, maka solat kita tidak sah. Oleh itu lebih baik pakai telekung yang kainnya tebal atau dua lapis. Kain sarung pula belilah yang bercorak supaya tidak nampak warna kulit kaki kita sewaktu solat. Di pasaraya MYDIN ada dijual kain sarung sembahyang yang tebal dan bercorak dengan harga berpatutan.

Rasanya cukup dua perkara ini dahulu yang mana saya lihat agak kritikal dikalangan para wanita. Amat rugi, kita solat tapi disebabkan kecuaian dan ketidakprihatinan kita, solat kita yang sudah berpuluh-puluh tahun tidak sah. Saya percaya dua perkara yang dikongsikan di atas adalah perkara yang telah kita belajar tapi sering kali kita ambil sikap sambil lewa yang boleh menjadikan solat kita sia-sia seterusnya menjadikan hidup kita tidak tenang.

Apa yang dikongsikan disini adalah hasil dari pembelajaran saya yang masih kurang. Jika ada sebarang persoalan boleh diajukan dan kita cuba untuk mencari jawapan secara bersama. Jika tidak menjumpai jawapannya, bertanyalah kepada ustaz dan ustazah yang lebih arif. Wallahua'lam.

Uhibbukum... :)

~Penuntut ilmu dunia dan akhirat~

Friday, May 18, 2012

WALIMATUL URUS YANG DIBERKATI

Bismillahirrahmanirrahiim… Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang… 

MUTIARA SRIKANDI 18/5/2012 : Walimatul Urus Yang Diberkati disampaikan oleh Dr Bushrah Basiron

Majlis dimulakan dengan bacaan doa. Alhamdulillah kehadiran melebihi 100 orang yang terdiri dari staf dan mahasiswa. 

Antara perkara yang dikongsikan dalam taman syurga ini adalah: 

1) Definisi walimatul urus 

2) Tujuan walimatul urus: 
- Tanda syukur. 
- Tanda kegembiraan perkara yang dituntut. 
- Pengisytiharan status kedua pasangan. 
- Mengeratkan hubungan silaturrahiim antara dua keluarga, jiran-jiran dan masyarakat Islam. 
- Mengelakkan fitnah dan prasangka buruk. 

3) Maskahwin: keluarga pengantin tidak boleh ambil. 

4) Jangan nak mewah kenduri sampai berhutang. Sampai dapat anak pun hutang belum habis dibayar. Buat mengikut kemampuan. 

5) Cenderahati untuk tetamu bukanlah sesuatu yang wajib. 

6) Hukum walimatul urus adalah sunat muakkad: dituntut. 

7) Siapa yang perlu mengadakan walimatul urus? 
- Suami (untuk kedua belah pihak dan buat mengikut kemampuan) 

8) Bilakah waktu walimah yang elok? 
- Setelah selesai perkahwinan dan telah bersama. 
- Rasulullah SAW kahwin malam dan kenduri pada pagi keesokan harinya. 

9) Wajib menghadiri majlis walimah setelah dijemput dan sunnah untuk makan makanan yang disediakan walau sedikit. 

10) Bila pergi walimah bacalah doa seperti dalam lagu Maher Zain yang bermaksud: Semoga Allah memberikan keberkatan atasmu dan menyatukan kamu berdua didalam kebaikan. 

11) Berilah ucapan terima kasih kepada tuan rumah yang mengadakan walimatul urus. 

12) Maksiat dan bid’ah dalam majlis walimatul urus: 
- Meninggalkan solat. 
- Membuka aurat. 
- Bersolek dan memakai wangi-wangian bagi wanita. 
- Mencukur kening dan memakai rambut palsu. 
- Memanjangkan kuku dan mewarnakannya dengan pewarna yang tidak kalis air. Boleh pakai inai tapi corak jangan melebihi pergelangan tangan atau melebihi buku lali, ditakuti menyerupai tatu. Corak inai juga tidak boleh imej benda hidup. 
- Mencukur janggut. 
- Mengkhususkan adanya cincin perkahwinan. (Ianya adat sahaja, boleh juga gelang tangan atau rantai) 
- Adat bersanding dan pelamin. (Boleh nak buat tempat ambil gambar tetapi hanya dikalangan mahram. Tidak boleh dipamerkan kepada orang luar) 
- Mewajibkan adanya duit dan barang hantaran. (Hanya adat) 
- Bersalaman dengan bukan mahram. 
- Muzik, karaoke dan nyanyian yang melalaikan. (Nasyid dan zikir dibenarkan) 
- Bomoh tolak hujan. (Boleh membawa kepada mensyirikkan Allah) 
- Upacara memotong kek perkahwinan. 
- Berbelanja besar untuk pakaian. 

13) Duit dan hadiah untuk pasangan pengantin bukan satu kewajipan, hanyalah sebagai sedekah. 

14) Sebaiknya jangan letakkan ayat Al-Quran atau nama Allah dalam kad jemputan kahwin kerana berkemungkinan ianya dibuang di merata tempat. 

15) Ingat, tujuan walimatul urus adalah agar perkahwinan diberkati dan kekal hingga ke syurga. Jangan cemari majlis walimatul urus dengan perkara-perkara yang Allah tidak redha, boleh memberi kesan kepada pernikahan itu. Moga kita semua beroleh manfaat dari perkongsian ini. Mudah-mudahan setiap detik dalam hidup kita memperoleh redha dan berkat dari Pencipta Yang Maha Agung.

Siiru 'ala barokatillah..

Friday, February 24, 2012

KELANTAN OH KELANTAN...

Bismillahirrahmanirrahiim...

Alhamdulillah terdetik di hati untuk update blog setelah sekian lama membiarkannya bersawang. Moga Allah SWT terus berikan kekuatan untuk terus menulis kerana ianya amat penting di zaman kini.

Teringat satu peristiwa sewaktu cuti sem baru-baru ini... Sekadar yang lupa-lupa ingat dalam memori.

Al-kisah, sedang menaiki teksi untuk ke kedai saudara di Pasar Borong Selayang, Gombak. Pemandu teksi adalah seorang pak cik cina.

Tiba-tiba keluar soalan dari pak cik tu... "Adik berasal dari mana?"

Tabiat diriku suka menguji kerana kenalanku mengatakan tidak kedengaran loghat negeriku bila bercakap bahasa rasmi, ku balas pertanyaan pak cik tersebut dengan pertanyaan kembali. "Pakcik rasa saya berasal dari mana?"

Setelah berfikir seketika, ku agak terkejut dengan jawapan pak cik itu... "Asal Kelantan, betul?"

Tepat sekali jawapan pak cik tu. "Betul tu pak cik".

Pak cik itu membalas dengan senyuman terukir di bibirnya, "Hebat kan, sekali teka sudah betul  :)". Daku mengiakannya dengan senyuman lebar...

Seterusnya daku teruskan perbualan dengan pak cik itu... "Macam mana pak cik tahu saya orang Kelantan?"

Jawapannya menyentuh hatiku... "Tengok tudung awak."

Subhanallah... Adakah melalui tudung boleh mengenali identiti orang Kelantan? Mungkin tidak semua rakyat Kelantan bertudung besar sepertiku, tapi bagi diri ini, jawapan pak cik itu adalah sesuatu yang positif... iaitu kebanyakan rakyat Kelantan bertudung besar, yang mana insyaAllah mudah-mudahan cara bertudung sedemikian memenuhi syariat Islam. Seketika daku terdiam memikirkan jawapan pak cik itu.

Pak cik cina itu menyambung perbualan dengan bertanya saya mahu ke mana. Ku katakan kepadanya.. "Saya mahu ke kedai saudara di Pasar Borong Selayang yang lama pak cik."

Tanya pak cik itu lagi, "Saudara tu orang Kelantan juga ke?". "Ya pak cik", jawabku.

Pak cik suka sangat tanya soalan-soalan yang tak dijangka... Tiba-tiba dia tanya, "Saudara tu orang PAS ke?"

MasyaAllah, soalan yang langsung tak dijangka. Dengan jujur daku menjawab tanpa mengetahui apakah persepsi pak cik tu terhadap PAS... "Ya pak cik, PAS. Orang kelantan kan..."

Seketika pak cik itu diam. Daku teringin tahu apa pandangan pak cik cina itu terhadap parti kerajaan yang sedang memerintah Kelantan sekarang lalu daku bertanya.. "Apa pendapat pak cik terhadap PAS?"

Jawapannya adalah, "Nik Aziz banyak baik. Awak pernah pergi rumah dia?"

"Tidak pernah pak cik, tapi lalu pernah la. Rumah dia biasa sahaja", jawabku pula.

Pak cik mengiakan jawapan ku, dan ada beberapa pujian yang diberikan kepada Menteri Besar Kelantan tapi daku lupa apa isinya..

Perbualan kami berakhir di situ, alhamdulillah daku selamat sampai ke desitinasi dan menunujukkan kepada pak cik kedai saudara ku itu sambil mempromosikannya. Kami berpisah di situ... Pertemuan yang singkat, tapi bagiku ianya sangat menarik. Tak pasti apa pula pandangan teman-teman terhadap kisah ini.

Moral of the story yang daku dapat adalah:
1) Alhamdulillah Kelantan mempunyai imej yang baik di mata penduduk negeri lain. Moga ianya terus berkekalan. Buat rakyat Kelantan, jom jaga akhlak kita sebaik mungkin sebagai rakyat kepada sebuah negeri Serambi Mekah. Walau di mana berada, pastikan Allah SWT sentiasa dekat di hati kerana itu adalah benteng utama diri kita.
2) Subhanallah... Masyarakat bukan Islam menerima baik kepimpinan berteraskan Islam di negeri Cik Siti Wan Kembang.
3) Mudah-mudahan dengan akhlak murni yang cuba ditonjolkan dapat menarik lebih ramai manusia kembali kepada fitrahnya iaitu Islam.

Sampai di sini sahaja coretan buat kali ini.. Tolong doakan moga Allah SWT berikan kekuatan untuk terus menulis demi mencari redha NYA.

Siiru 'ala barokatillah.  :)

~hamba yang lemah tanpa kasih sayang Tuhan Yang Maha Penyayang~

Sunday, January 1, 2012

KE ARAH KECEMERLANGAN AKADEMIK BERSAMA REDHA ILAHI


Bismillahirrahmanirrahiim... Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.. 

Sedar tidak sedar, dalam masa beberapa hari sahaja lagi, kita semua bakal menghadapi musim peperiksaan sem 1 sesi 2011/2012. Oleh itu, adalah perlu bagi kita semua untuk mempersiapkan diri dalam menghadapi perkara ini. Sebelum saya pergi lebih jauh, ingin saya ingatkan bahawa didalam kita mempelajari ilmu fardhu kifayah sepertimana yang sedang kita pelajari di dalam dewan kuliah sekarang, adalah menjadi kewajipan ke atas diri kita sebagai seorang muslim untuk mengutamakan ilmu agama terlebih dahulu. Perkara ini sangat penting. Setelah kita mengakui bahawa “Tiada Tuhan selain Allah SWT, Nabi Muhammad pesuruh Allah”, maka diri kita dituntut untuk melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim. Didalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, kita perlukan ilmu. Sebagai contoh, jika kita ingin solat, kita perlu belajar bagaimanakah cara solat yang betul. Jika kita ingin mencintai Allah, kita pelu belajar bagaimanakah cara untuk kita pupuk cinta kepada Pencipta Yang Esa iaitu Allah SWT. Oleh itu, marilah kita sama-sama manfaatkan majlis ilmu yang sangat banyak di UTM ini, antaranya Majlis Cinta Allah & Rasul setiap 6.30petang hari Ahad di surau KTHO dan lain-lain. 

Seterusnya ingin saya kongsikan disini beberapa tips untuk memperoleh kecemerlangan didalam akademik yang disertai redha Allah SWT, insyaAllah... 

1) Niat menuntut ilmu hendaklah untuk mencari keredhaan Allah, perkara ini amat penting. Setiap apa yang kita lakukan, jadikan pengakhirannya adalah Allah. Contohnya, kenapa aku ingin cemerlang? Kerana aku ingin menggembirakan kedua ibu bapa ku, mudah-mudahan dengan itu ku peroleh redha Tuhanku. Jangan biarkan diri kita menjadi hamba kepada dunia tetapi marilah kita menjadi hamba yang sejati kepada Pencipta kita iaitu Allah SWT. 

2) Penuhi prinsip DUTA = DOA + USAHA + TAWAKKAL 

- DOA : Mulakan setiap sesi pembelajaran kita didalam kelas mahupun di bilik dengan berdoa kepada Allah SWT yang Maha Mendengar segala permintaan hamba NYA. Kita amat memerlukan bantuan dan pertolongan dari Allah SWT untuk diberikan kudrat dan keazaman dalam pembelajaran. Jadi, tunggu apa lagi, mulai saat ini, pohonlah kejayaan dunia akhirat dari Tuhan mu Yang Maha Kaya. 

 - USAHA : Dengan kekangan masa yang ada, lebih-lebih lagi buat mereka yang aktif berpersatuan, amalkan cara belajar yang “SMART”. Apa cara belajar yang SMART itu? 
a) Fokus dalam kelas. Hormati guru dalam mahupun luar kelas kerana keberkatan dalam pelajaran itu sangat penting. 
b) Catit setiap tips yang pensyarah berikan sepanjang sesi pengajian. Contohnya ada beberapa tajuk yang pensyarah menyatakan bahawa akan masuk peperiksaan, catitkan tips tersebut agar bila tiba waktu ulangkaji, kita tahu tajuk yang perlu kita fokus. 
c) Sempurnakan berserta dengan kefahaman tugasan yang diberi pensyarah. 
d) Sewaktu ulangkaji, fahami konsep, bukan hafal langkah semata-mata. 
e) Bersihkan hati dengan istighfar, wuduk, baca Al-Quran dan perkara-perkara sunat lain. Tinggalkan maksiat kerana titik-titik hitam yang ada pada hati kita antara penyebab susah untuk kita belajar. 

- TAWAKKAL : Setelah berusaha dengan kadar kemampuan yang dikurniakan Allah kepada kita, sama-sama kita berusaha untuk redha dengan setiap apa yang Allah SWT berikan kepada kita kerana hanya DIA Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba NYA. Perlu diingat, kemampuan setiap orang adalah berbeza. Bagi mereka yang mendapat keputusan yang tidak memuaskan, bersyukur kepada Allah dan usahakan untuk terus maju ke hadapan. Bagi mereka yang mendapat keputusan cemerlang pula, bersyukur dengan kurniaan Allah dan jangan sesekali sombong dengan Pencipta Yang Esa kerana bila-bila masa sahaja nikmat itu boleh ditarik. Kesusahan mahupun kesenangan, kedua-duanya merupakan ujian dari Allah SWT tetapi ujian kesusahan kebiasaannya akan membawa kita lebih dekat dengan Kekasih Yang Maha Mencintai. 

Di akhir tinta, mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan kita semua kecemerlangan di dunia & akhirat. Ya Allah, kurniakan kami keikhlasan dalam segala perkara, istiqamah di atas jalan yang benar & pengakhiran yang baik disisi Mu. 

“MENUNTUT ILMU AGAMA ITU SATU KEWAJIPAN BAGI SEORANG MUSLIM” 

~penuntut ilmu akhirat & dunia, insyaAllah~

Tuesday, December 13, 2011

BUATMU TEMAN YANG DALAM GUNDAH


Bismillahirrahmanirrahiim...

Al-kisah, seorang teman minta pendapat dalam membantu sahabatnya yang dalam gundah gulana..

Post teman tu dalam fb:

luahan hati sorg kawan yg saya nk share "ain...aku terror, aku pandai dalam semua benda, aku selalu jd perhatian, aku cukup pakej, aku byk kawan..kadang2 aku rase, aku x minta pon tp aku org senang2 jek datang nk kwn ngan aku..pendek kata aku ni perfect gak laa..tp tu semua dulu, mase aku tgh sihat..tp skang lepas aku xcident, aku jd gagap2, kadang2 aku amik masa yg lama nk faham apa yg org nk cakap ngan aku, aku pun da byk parut pon..segan lak nk bkawan ngan org..mase ni boley tengok laa mane mber2 kiter dulu..yg betoi2 mber go on je lagi ngan aku, tp ug lain??ko sendiri nampak kann..bila aku nk mitak tlg, ader jek alasan, aku bukan nk berprasangka tp kadang2 aku terasa gak..kiter ni manusia kot...aku x tau laa, ni maybe ujian aku..tp kadang2 aku rase sangsi gak..knp aku???" byk lagi laa, tp x dapat nk tulis, pendek kate, kwn saya ni cam da hilang semangat skit laa...boley bantu tak??cam ne nk buat dia ok sket..kamu semua kan brilliant..nk kata2 dari sorg kawan kepada kwn..jgn la bg cadangan suh dia g kaunseling semua tuu..sy nk lain dari yg tu...tq

Jawapan dari hamba Allah SWT yang dhoif:

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang.. Tiada yg lebih brkuasa melainkan Allah, tiada yg boleh mntenteramkn hati seseorang melainkan Allah jua krn Dia lh Pemilik diri kta yg sejati... ttp boleh jd kasih sayang Allah itu Dia salurkn melalui manusia... Atas dasar itu, daku hamba yg dhoif ini mncuba utk mmbantu saudara ku yg mudah2an dgnnya ku dpertemukn dlm syurga firdausi kelak.. Shbt yg dkasihi yg mana Allah lebih2 lg kasih pdmu, setiap takdir Allah pd mu, Dia plg tahu apa yg terbaik buat mu krn Dia yg menciptakn mu... Boleh jd Allah rindu pd mu shbt, Dia ingin mndengar engkau mengadu & merintih pd NYA.. Kta sbg manusia, sy sendiri jrg skali mengingati Pencipta kta d waktu kta senang... ttp d waktu kta susah, Allah lh yg kta cari... Ujian itu boleh jd ingin mndekatkn mu dgn Pencipta yg amat mengasihi mu. Biarlah manusia xbrada disisi kta, tp yg penting Allah disisi kta... Sbb bkan mnusia yg mnjdkan kta hdup, bkan mnusia yg mmberi rezki, penglihatan, pndengaran dll kpd kta. Tp semuanya Allah swt yg brikn kpd kta.. Oleh itu, insyaAllah shbtku, engkau mmpu mnghadapi sgalanya slagi mana Allah swt ada disisimu.

Hadis ke 19 dr hadis 40 Imam Nawawi: Dari Abul Abbas Abdullah bin Abbas ra. berkata: Suatu hari aku berada di belakang Nabi saw. lalu beliau bersabda, "Nak, aku ajarkan kepadamu beberapa patah kata, jagalah Allah, niscaya Dia akan menjagamu, jagalah Allah, niscaya Dia akan senantiasa bersamamu. Bila engkau meminta sesuatu, mintalah kepada Allah, dan bila engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, jika semua umat manusia bersatu padu untuk memberikan suatu kebaikan kepadamu, niscaya mereka tidak dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah bagimu, dan jika semua umat manusia bersatu padu untuk mencelakakanmu, niscaya mereka tidak dapat mencelakakanmu kecuali dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah bagimu. Pena telah diangkat, dan catatan-catatan itu telah mengering." (HR Tirmidzi. Dia berkata, "Hadits ini hasan sahih.")

Ingat diriku & teman2ku, sumber kebahagiaan itu datangnya dr Allah swt... Cuma boleh jadi Dia salurkan melalui manusia... Sbg contoh, kita rasa gembira bilamana ada sahabat yang membantu swaktu kita susah, tp sebenarnya Allah yg berikan kemampuan kpd shbt kta itu utk mmbantu kta.. Itulah kasih syg Allah buat diri kta.. Slagi mana kta mngharap & brgantung pd manusia, ketidaksempurnaan yg kta akan dapat tp blamana kta brgantung pd Allah, kbahagiaan hakiki insyaAllah kta akan peroleh. Mudah2an kta semua mmperolehnya... :)

Mudah-mudahan ada sesuatu yang boleh kita ambil dari perkongsian ini.. siiru 'ala barokatillah

Wednesday, March 23, 2011

JANGAN PERNAH LUPA

Bismillahirrahmanirrahiim... Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Lama sungguh tak update blog, alhamdulillah diberi kelapangan pada petang ini.

Kenapa tajuknya 'Jangan Pernah Lupa' ?

Sebenarnya ianya lebih kepada ingatan buat diri sendiri, agar tidak melupakan antara saat terindah dalam hidup ini.

Bilakah saat itu, kenapakah ianya indah?

Al-kisahnya berlaku pada satu hari... Hati sangat terluka disebabkan berlakunya beberapa perkara, tak tahu perkara tersebut disebabkan salah diri sendiri atau salah orang lain. Walaubagaimanapun, aku percaya keterlukaan itu sebenarnya Allah ingin mengajarkan beberapa perkara yang amat bermakna dalam hidup ini. Sewaktu sedang melayan emosi sendiri, terdetik hati untuk buka tafsir Al-Quran. MasyaAllah, betapa Allah amat mengasihi hamba Nya, diberinya penawar kepadaku melalui kalam Nya itu, betapa Dia Maha Memahami hamba Nya.

Apakah ayat itu?

Surah Saba'

Ayat 1 & 2: Segala puji bagi Allah yang memiliki apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan segala puji di akhirat bagi Allah. Dan Dialah Maha Bijaksana, Mahateliti. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi, apa yang keluar darinya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepada Nya. Dan Dialah Yang Maha Penyayang, Maha Pengampun.

Tepat sekali ayat ini, Allah tahu apa yang ada dalam hatiku sekarang, keterlukaanku, kegelisahanku dan segala apa yang ada pada diriku, Dia tahu segalanya. Aku perhatikan alam sekeliling, segala puji bagi Allah yang telah menciptakan burung yang berterbangan... pokok yang daunnya melambai-lambai... air yang mengalir dan jernih... Maha Hebat Allah yang telah menciptakan ini semua, dan pada waktu yang sama telah mententeramkan hatiku yang berkecamuk tadi...

Saat ini menjadi antara saat terindah dalam hidupku. Aku menangis teresak-esak kerana sungguh terharu betapa Allah memahami diri yang lemah ini... Dengan kalam Nya itu, ianya mampu mententeramkan hatiku sekelip mata. Aku makin yakin bahawa benarlah yang Al-Quran itu adalah mukjizat terbesar buat umat Nabi Muhammad dan ianya merupakan petunjuk sepanjang zaman. 2:2: Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa...

Anda tak percaya?

Anda cubalah sendiri, dikala diri dilanda kesusahan, ikhlaskan hati untuk membuka kalam Nya dalam usaha untuk mencari petunjuk dari Nya dalam menyelesaikan masalah anda itu. Hayatilah maksud kalam dari Tuhan buat hamba yang amat dikasihi Nya. InsyaAllah, disitu akan dapati penyelesaian bagi masalah anda itu. Paling tidak, ketenangan hati dan ketenteraman jiwa akan anda peroleh. Maklumlah, hati sentiasa gelisah dengan segala macam perkara yang mendatang dalam hidup, akademik, keluarga, persatuan, perasaan dan bermacam lagi. 

Duhai diri dan teman-teman, pulanglah kepada Pencipta Mu, mengadu kepada Nya, pohon keampunan dari Nya, Dia Maha Mendengar suaramu mahupun detikan hatimu.

~ Nukilan hati hamba Allah selama-lamanya ~

Tuesday, December 14, 2010

HATIKU MERINTIH, JIWAKU MERONTA, AKHIRNYA AIR MATA MENITIS...

Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Hatiku merintih, jiwaku meronta, akhirnya air mata menitis... setelah ku tonton buletin utama sebentar tadi. Masakan tidak, berita pertama yang menyentuh hatiku adalah berita mengenai seorang bapa kepada empat orang anak dijatuhi hukuman penjara setelah didapati bersalah merogol remaja bawah umur di dalam kebun kelapa sawit.. Menambah gores di hati adalah berita seterusnya, seorang remaja lelaki berumur 16 tahun merogol gadis berumur 11 tahun... Masya Allah, apa yang sedang berlaku ini Ya Allah? Diri merasakan sangat dhaif dan lemah, apa yang telah diri ini lakukan dalam usaha membanteras gejala sebegini rupa... Ya Allah, masyarakat makin menuju kehancuran bilamana makin jauh dengan Mu Ya Rabb...

Bukan ingin menyalahkan mana-mana pihak, tapi mungkin lebih kepada luahan hati. Boleh dikatakan 99 % iklan di televisyen menonjolkan iklan wanita tak bertudung, sedangkan Islam mewajibkan wanita muslimah menutup aurat... Di manakah sensitiviti kita terhadap kehendak Islam yang akan membawa kita kepada kehidupan yang aman harmoni? Di mana ketakutan kita kepada Allah Yang Maha Agung pabila melakukan larangan Allah SWT tanpa rasa bersalah? Dan dimana usaha kita dalam melaksanakan perintah Allah SWT, Tuhan Yang Maha Memberikan segala-galanya buat kita?

Al-Quranul Karim: Ibrahim(14): 34: Dan Dia telah memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, niscaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).

Moga Allah SWT jauhkan kita daripada tergolong dalam golongan yang tersebut di atas. Marilah kita sama-sama lebih prihatin dengan apa yang terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini. Dan moga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita dalam menghadapi perkara ini.

Hanya pelaksanaan Islam yang sebenarnya sebagai penyelesaian kepada masalah ini... Bantu kami yang lemah dan dhaif ini dalam melaksanakan Islam yang sebenarnya, dan menyebarkan Islam yang suci murni ini Ya Allah...

~Hamba Allah yang memerlukan belas kasihan Tuhan Yang Maha Pemurah, Allah SWT~