Sunday, January 1, 2012

KE ARAH KECEMERLANGAN AKADEMIK BERSAMA REDHA ILAHI


Bismillahirrahmanirrahiim... Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.. 

Sedar tidak sedar, dalam masa beberapa hari sahaja lagi, kita semua bakal menghadapi musim peperiksaan sem 1 sesi 2011/2012. Oleh itu, adalah perlu bagi kita semua untuk mempersiapkan diri dalam menghadapi perkara ini. Sebelum saya pergi lebih jauh, ingin saya ingatkan bahawa didalam kita mempelajari ilmu fardhu kifayah sepertimana yang sedang kita pelajari di dalam dewan kuliah sekarang, adalah menjadi kewajipan ke atas diri kita sebagai seorang muslim untuk mengutamakan ilmu agama terlebih dahulu. Perkara ini sangat penting. Setelah kita mengakui bahawa “Tiada Tuhan selain Allah SWT, Nabi Muhammad pesuruh Allah”, maka diri kita dituntut untuk melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim. Didalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, kita perlukan ilmu. Sebagai contoh, jika kita ingin solat, kita perlu belajar bagaimanakah cara solat yang betul. Jika kita ingin mencintai Allah, kita pelu belajar bagaimanakah cara untuk kita pupuk cinta kepada Pencipta Yang Esa iaitu Allah SWT. Oleh itu, marilah kita sama-sama manfaatkan majlis ilmu yang sangat banyak di UTM ini, antaranya Majlis Cinta Allah & Rasul setiap 6.30petang hari Ahad di surau KTHO dan lain-lain. 

Seterusnya ingin saya kongsikan disini beberapa tips untuk memperoleh kecemerlangan didalam akademik yang disertai redha Allah SWT, insyaAllah... 

1) Niat menuntut ilmu hendaklah untuk mencari keredhaan Allah, perkara ini amat penting. Setiap apa yang kita lakukan, jadikan pengakhirannya adalah Allah. Contohnya, kenapa aku ingin cemerlang? Kerana aku ingin menggembirakan kedua ibu bapa ku, mudah-mudahan dengan itu ku peroleh redha Tuhanku. Jangan biarkan diri kita menjadi hamba kepada dunia tetapi marilah kita menjadi hamba yang sejati kepada Pencipta kita iaitu Allah SWT. 

2) Penuhi prinsip DUTA = DOA + USAHA + TAWAKKAL 

- DOA : Mulakan setiap sesi pembelajaran kita didalam kelas mahupun di bilik dengan berdoa kepada Allah SWT yang Maha Mendengar segala permintaan hamba NYA. Kita amat memerlukan bantuan dan pertolongan dari Allah SWT untuk diberikan kudrat dan keazaman dalam pembelajaran. Jadi, tunggu apa lagi, mulai saat ini, pohonlah kejayaan dunia akhirat dari Tuhan mu Yang Maha Kaya. 

 - USAHA : Dengan kekangan masa yang ada, lebih-lebih lagi buat mereka yang aktif berpersatuan, amalkan cara belajar yang “SMART”. Apa cara belajar yang SMART itu? 
a) Fokus dalam kelas. Hormati guru dalam mahupun luar kelas kerana keberkatan dalam pelajaran itu sangat penting. 
b) Catit setiap tips yang pensyarah berikan sepanjang sesi pengajian. Contohnya ada beberapa tajuk yang pensyarah menyatakan bahawa akan masuk peperiksaan, catitkan tips tersebut agar bila tiba waktu ulangkaji, kita tahu tajuk yang perlu kita fokus. 
c) Sempurnakan berserta dengan kefahaman tugasan yang diberi pensyarah. 
d) Sewaktu ulangkaji, fahami konsep, bukan hafal langkah semata-mata. 
e) Bersihkan hati dengan istighfar, wuduk, baca Al-Quran dan perkara-perkara sunat lain. Tinggalkan maksiat kerana titik-titik hitam yang ada pada hati kita antara penyebab susah untuk kita belajar. 

- TAWAKKAL : Setelah berusaha dengan kadar kemampuan yang dikurniakan Allah kepada kita, sama-sama kita berusaha untuk redha dengan setiap apa yang Allah SWT berikan kepada kita kerana hanya DIA Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba NYA. Perlu diingat, kemampuan setiap orang adalah berbeza. Bagi mereka yang mendapat keputusan yang tidak memuaskan, bersyukur kepada Allah dan usahakan untuk terus maju ke hadapan. Bagi mereka yang mendapat keputusan cemerlang pula, bersyukur dengan kurniaan Allah dan jangan sesekali sombong dengan Pencipta Yang Esa kerana bila-bila masa sahaja nikmat itu boleh ditarik. Kesusahan mahupun kesenangan, kedua-duanya merupakan ujian dari Allah SWT tetapi ujian kesusahan kebiasaannya akan membawa kita lebih dekat dengan Kekasih Yang Maha Mencintai. 

Di akhir tinta, mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan kita semua kecemerlangan di dunia & akhirat. Ya Allah, kurniakan kami keikhlasan dalam segala perkara, istiqamah di atas jalan yang benar & pengakhiran yang baik disisi Mu. 

“MENUNTUT ILMU AGAMA ITU SATU KEWAJIPAN BAGI SEORANG MUSLIM” 

~penuntut ilmu akhirat & dunia, insyaAllah~

No comments:

Post a Comment